ad
AGENDA

Polis tahan pasangan kekasih disyaki edar dadah

18 Ogos 2022, 11:11 AM
Polis tahan pasangan kekasih disyaki edar dadah

SERDANG, 18 OGOS: Polis menahan sepasang kekasih selepas disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran pelbagai dadah dianggar bernilai lebih RM1.2 juta di sekitar Lembah Klang, 10 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata lelaki tempatan dan teman wanitanya yang merupakan warga Vietnam ditahan di sebuah hotel di kawasan Pusat Perdagangan One Puchong, di sini.

Beliau berkata susulan penahanan kedua-duanya yang berusia 20 tahun, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, pil eramin 5 dan ekstasi di sebuah kondominium di Kepong.

“Modus operandi pasangan itu adalah membungkus semula dadah tersebut dalam bentuk peket lebih kecil sebelum diedar di sekitar Lembah Klang.

“Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lepas. Dadah dirampas ini dipercayai dapat menampung penggunaan 50,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga sedang menyiasat sama ada suspek memproses sendiri dadah tersebut atau mendapatkan bekalan daripada dalam atau luar negara.

Katanya mereka direman hingga 24 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.