ad
AGENDA

Jelajah Selangor di Petaling tumpu kebajikan ibu tunggal, anak istimewa

22 Jul 2022, 2:00 AM
Jelajah Selangor di Petaling tumpu kebajikan ibu tunggal, anak istimewa
Jelajah Selangor di Petaling tumpu kebajikan ibu tunggal, anak istimewa

SHAH ALAM, 22 JULAI: Program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad menyediakan banyak inisiatif dan aktiviti untuk rakyat.

Dijadual bermula 8 pagi hingga 5.30 petang, program yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam acara bertemakan Kasih Keluarga Negeri Penyayang, Amirudin dijadual melancarkan Program Anak Istimewa Selangor (AnIS) dan Pembangunan Ibu Tunggal Wanita Berdaya Selangor.

Turut berlangsung ialah penyerahan Geran Pembangunan Ibu Tunggal, bantuan khas AnIS (lima orang), Didik AnIS (tiga pusat) selain anugerah kepada dua ikon AnIS.

Program juga bakal diserikan dengan persembahan artis terkenal Ernie Zakri dan Hazama selain aktiviti senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, pameran dan jualan.

Orang ramai juga berpeluang mendapatkan barangan asas murah melalui Jualan Prihatin Rakyat antaranya ayam, telur ayam, tulang, daging dan ikan kembung serta selayang.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta, menggantikan IPR supaya lebih ramai memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Sebelum ini, acara sama berlangsung di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat dan Stadium Utama Kuala Selangor dengan ketiga-tiganya mendapat sambutan menggalakkan.

Jelajah berkenaan bakal berakhir di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.