SHAH ALAM, 5 JULAI: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 pada Oktober depan adalah usaha menjadikan negeri ini sebagai hab perniagaan dunia.
EXCO perdagangan dan perindustrian berkata usaha ke arah itu dilakukan sejak lapan tahun lalu menerusi Ekspo Antarabangsa Selangor yang memfokuskan kepada makanan dan minuman.
“Bermula dari situ kita terus berkembang hingga menjadi satu acara yang lebih besar iaitu SIBS di mana terdapat enam acara utama di dalamnya.
[caption id="attachment_528780" align="alignleft" width="381"]
EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato' Teng Chang Khim bercakap kepada media selepas melancarkan Selangor International Business Summit (SIBS) 2022 di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Shah Alam pada 5 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
“Ini menunjukan satu perkembangan yang menggalakan dan memang itu strategi kita supaya semua perdagangan antarabangsa dapat dijalankan di Selangor,” kata Dato’ Teng Chang Khim selepas melancarkan SIBS 2022 di Hotel Saujana Kuala Lumpur di sini hari ini.
Katanya, enam acara utama di SIBS ialah Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor.
Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor; Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.
SIBS 2022 akan berlangsung pada 6 hingga 9 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Kerajaan Negeri menyasarkan potensi jualan sehingga RM350 juta selain mampu menarik kehadiran 30,000 pengunjung sepanjang empat hari program.




