ad
AGENDA

Pas pengembara dimansuh buat rakyat Malaysia berkuat kuasa 4 Julai

1 Jul 2022, 5:36 AM
Pas pengembara dimansuh buat rakyat Malaysia berkuat kuasa 4 Julai

SHAH ALAM, 1 JULAI: Warganegara Malaysia yang pulang semula ke negara ini tidak lagi perlu mengisi pas pengembara dalam aplikasi MySejahtera berkuat kuasa Isnin ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kelonggaran itu bagi memudahkan rakyat selain keadaan sistem kesihatan negara yang kini pada tahap baik dan memuaskan.

"Pemansuhan ini akan dibuat secara berperingkat untuk turut memberi kelonggaran kepada kumpulan lain seperti pemegang pas sosial, pas pelajar dan penduduk tetap.

"Buat permulaan, pemansuhan ini hanya terpakai kepada warganegara sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, jelas Khairy, ciri-ciri pas tersebut masih dipaparkan dalam MySejahtera dan ia perlu dilengkapkan pengembara bukan warganegara sebelum memasuki negara ini.

Beliau menambah langkah itu juga membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia membuat pemantauan rapi ke atas penyakit berjangkit lain dari luar negara seperti cacar monyet.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.