SHAH ALAM, 30 MEI: Kerajaan Negeri dalam perancangan menambah latihan kepada pendakwa syarie bagi meningkatkan kepakaran pendakwaan terutama membabitkan jenayah siber.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata ia berikutan ajaran dan fahaman yang jelas bertentangan dengan Islam banyak disebar melalui media sosial.
Menurunya, buat masa ini, latihan berterusan memang diberikan kepada pendakwa supaya mereka memiliki kepakaran dalam mengendalikan kes.
"Kita dalam perancangan untuk menambah kursus kerana ada sesetengah kes banyak berlaku pendakwa kalah disebabkan tidak cukup bukti yang melibatkan enakmen dengan peruntukan terhad.
"Latihan diberikan bukan sahaja khusus kepada pendakwaan tetapi juga kehakiman untuk menguruskan jenayah syariah," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Kebangsaan: Jenayah Siber di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Mengulas mengenai konvensyen tersebut, Mohd Zawawi memaklumkan program itu diharap dapat memberi pengetahuan dan fahaman dalam kalangan pendakwaan.


