SHAH ALAM, 30 APRIL: Seratus pengunjung terawal Karnival Jualan Mega Prihatin di Padang Awam Batu Caves, Gombak hari ini menerima baucar bernilai RM12 seorang.
Baucar itu disumbangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagi meringankan beban penduduk setempat membuat persiapan raya yang bakal kunjung tiba.
Menurut Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), jualan di kawasan itu mendapat sambutan baik apabila 2,000 ekor ayam, minyak, telur dan buah-buahan terjual dalam tempoh tiga jam.
“Semoga inisiatif ini dapat membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dalam menyediakan kelengkapan Syawal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.
Selain lokasi berkenaan, PKPS turut menganjurkan jualan barangan asas secara besar-besaran di Dewan Serbaguna Jalan H Kampung Pandan, Stadium Shah Alam dan Stadium Sabak Bernam.
Kerajaan Selangor melaksanakan jualan sempena Aidilfitri di 29 lokasi mulai 25 April hingga 2 Mei ini bagi membantu rakyat mendapat keperluan asas pada harga murah.
Produk dijual termasuk 23,200 ekor ayam segar, 23,200kg daging pejal, tulang lembu (16,700kg), telur ayam gred B (18,200 papan), minyak masak paket (25,200kg) serta 1,500kg ikan selayang dan kembung (QFish).