ad
AGENDA

KEADILAN sedia pelan alternatif jika Parlimen bubar awal

27 Mac 2022, 1:25 PM
KEADILAN sedia pelan alternatif jika Parlimen bubar awal

KUALA LUMPUR, 27 MAC : Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersedia dengan rancangan lain dalam pemilihan parti pada Mei ini jika Parlimen dibubarkan lebih awal untuk pilihan raya umum (PRU).

Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Majlis Pimpinan Pusat akan mengadakan perbincangan untuk membuat ketetapan baharu berhubung pemilihan parti.

"Parti ketika buat keputusan untuk mengadakan pemilihan pada Mei sudah mengambil kira semua perkara termasuk pembubaran awal Parlimen. Kita sudah ada pelan A, B dan C, apabila keadaan itu berlaku kita akan tukar strategi.

"Jika PRU diadakan tempoh terdekat parti akan balik kepada MPP parti dan buat ketetapan baharu, sama ada meneruskan pemilihan atau tangguh kerana parti ada tempoh hingga Mei tahun depan ," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan KEADILAN Cabang Lembah Pantai di VE Hotel & Residence di sini, hari ini.

Menurutnya, kekalahan dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini turut menjadikan KEADILAN lebih bersiap sedia serta berusaha membaiki kelemahan.

"Kekalahan dalam PRN  memberi kami satu reaksi iaitu untuk segera lakukan ubah suai, naratif rakyat, perbaiki kelemahan dalam parti, latihan jentera, penggunaan data dan analisa serta pelbagai lagi," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.