AGENDA

Sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka 1 April, tidak perlu kuarantin

24 Mac 2022, 10:27 AM
Sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka 1 April, tidak perlu kuarantin

SHAH ALAM, 24 MAC: Pengembara yang lengkap suntikan vaksin dibenarkan merentas sempadan darat antara Malaysia dan Singapura tanpa perlu menjalani kuarantin mulai 1 April.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan mereka juga tidak perlu membuat saringan Covid-19 termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

"(Keputusan) ini adalah terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata pengembara yang melalui sempadan udara Malaysia-Singapura pula hanya perlu melakukan ujian Covid-19 dua hari sebelum berlepas dan tidak perlu menjalani kuarantin.

Sementara itu, bagi sempadan Malaysia-Thailand, Khairy berkata hanya dua pintu sempadan darat dipersetujui untuk dibuka iaitu Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan.

"Kerajaan Thailand hanya bersedia untuk menerima pengembara pelancongan sahaja manakala bagi pengembara harian dan kerap, perbincangan masih dijalankan antara Malaysia dan Thailand.

"Buat masa ini, protokol am pengembara umum terpakai ke atas pengembara dari Thailand," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.