ad
AGENDA

Badminton Asia: Pearly Tan hadiah kemenangan atasi Jepun buat Thinaah

16 Feb 2022, 1:34 AM
Badminton Asia: Pearly Tan hadiah kemenangan atasi Jepun buat Thinaah

SHAH ALAM, 16 FEB: Pemain beregu wanita negara Pearly Tan menghadiahkan kemenangan ke atas Jepun dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 kepada rakan gandingan M Thinaah yang tidak dapat bersama selepas disahkan positif Covid-19.

Pearly, 22, mengakui sedih walaupun berjaya menyumbang mata penyamaan untuk Malaysia dalam aksi pembukaan kumpulan Y di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini semalam.

"Thinaah ada hubungi saya dan dia sedih dengan apa yang berlaku. Saya pun terkejut sebaik dimaklumkan dia positif Covid-19.

"Namun, jurulatih cakap jangan banyak fikir, mesti berjuang untuk dapatkan mata buat pasukan. Jadi, perjuangan saya di gelanggang hari ini (semalam) adalah untuknya," katanya kepada pemberita selepas Malaysia menundukkan Jepun 3 - 2.

Dalam perlawanan menentang Rui Hirokami-Yuna Kato, Pearly digandingkan sementara bersama Valeree Siow dan berjaya memberikan mata kedua Malaysia dengan keputusan 24-22, 21-18.

Valeree, 20, berkata banyak dipelajari ketika bermain dengan Pearly menentang lawan dari Jepun selain menjadi pengalaman bermakna buat dirinya.

"Cuma saya sendiri perlu lebih tenang dan kurang melakukan kesilapan," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.