AGENDA

KKM giat beri dos penggalak elak kes Covid-19 naik

12 Nov 2021, 12:50 PM
KKM giat beri dos penggalak elak kes Covid-19 naik

SHAH ALAM, 12 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempergiatkan pemberian dos penggalak bagi memastikan kes Covid-19 tidak meningkat semula.

Ketua pengarah kesihatan berkata pemberian dos penggalak serta dos tambahan selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terutama kepada golongan mempunyai imuniti rendah.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menyatakan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta petugas barisan hadapan juga diutamakan.

"Strategi KKM seterusnya adalah meluaskan pemberian dos penggalak kepada individu berusia 18 tahun ke atas dengan komorbiditi, individu berusia 40 tahun ke atas, ibu mengandung, petugas barisan hadapan selain petugas kesihatan.

"Pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan regulatori dan kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan merawat sama ada daripada jenis homologous atau heterologous dengan dos primer terakhir," katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, setakat ini hanya vaksin Comirnaty diberikan kelulusan sebagai dos penggalak secara homologous selepas tempoh enam bulan menerima dos primer, manakala vaksin lain dalam proses semakan oleh panel pakar dan regulatori.

Dr Noor Hisham berkata sehingga semalam, dianggarkan sebanyak 144.57 juta dos penggalak diberikan di peringkat global manakala sebanyak 825,497 dos diberikan di negara ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.