ad
AGENSI

Penjawat awam perlu sokong dasar digital negeri

8 Nov 2021, 9:25 AM
Penjawat awam perlu sokong dasar digital negeri

SHAH ALAM, 8 NOV: Pendigitalan harus menjadi keutamaan penjawat awam negeri ini dalam membuat keputusan selaras sasaran Selangor ke arah Negeri Pintar menjelang 2025.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Haris Kasim berkata mereka harus menyokong dan bergerak seiring dengan Kerajaan Negeri yang pada masa kini membawa agenda berkenaan.

Menurutnya, ketika pandemik Covid-19 ramai beralih kepada perkhidmatan secara dalam talian dan Selangor turut memperkenalkan inisiatif e-Dapur dan E-Bazar Raya bagi membantu golongan peniaga.

"Kita selaku penjawat awam perlu menyesuaikan diri dalam dasar kerajaan ini supaya kita lebih peka dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

"Usaha pemerkasaan seperti ini sangat penting demi memastikan kesinambungan produktiviti ekonomi, keberdayaan huni serta kelestarian alam sekitar di Selangor sentiasa ditambah baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis himpunan penjawat awam bersama Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Beliau juga mengingatkan penjawat awam negeri berkhidmat dengan amanah dan tidak menyalahgunakan kuasa untuk keuntungan peribadi.

"Saya tegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai awam terlibat dengan salah laku atau salah guna kuasa," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.