ad
AGENDA

Sektor pembinaan rugi RM42 bilion sepanjang PKP

30 Sep 2021, 3:52 AM
Sektor pembinaan rugi RM42 bilion sepanjang PKP

SHAH ALAM, 30 SEPTEMBER: Sektor pembinaan merekodkan kerugian sebanyak RM42 bilion susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac tahun lalu, kata menteri kanan kerja raya.

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sebanyak RM24 bilion kerugian dicatat pada PKP 1.0 bermula Mac hingga Julai tahun lalu manakala RM18 bilion sepanjang PKP 3.0 berkuat kuasa 1 Jun hingga September.

Menurutnya, antara punca kerugian peningkatan kos bahan binaan dan kekurangan tenaga kerja apabila pekerja asing tidak dapat kembali ke Malaysia serta keperluan pekerja dilengkapi vaksin Covid-19 sebelum dibenarkan bekerja semula.

Selain itu, katanya, syarat baharu kepada kontraktor seperti keperluan menyediakan penginapan juga memberi kesan kepada jumlah kerugian besar itu.

"Sehubungan itu, kita mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri bagi mencari jalan penyelesaian.

"Antara penyelesaian dicapai adalah kelulusan syarat perubahan harga sehingga 31 Disember oleh Kementerian Kewangan dan kelonggaran penyediaan penginapan pekerja berpusat," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan (Jerantut-BN) berhubung jumlah kerugian bagi sektor pembinaan sepanjang penularan Covid-19 dan langkah mengatasinya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.