BUDAYA

Cereka sapiens 5

20 Sep 2021, 12:16 PM
Cereka sapiens 5

Bulan sabit tercangkuk di langit

jam malam tidak mahu jatuh

lampu padamkan diri dalam rumahmu

dari mata terpercik ungu jingga di awan

engkau dibenam subuh didetak siang

Aku tahu siang tidak pandai berjanji pada sesiapa

cahayanya menyusup senyap, merengkuh penyangkut

bulan sabit dilarikan bersama pejal dagingmu

lelakimu pandai pelesiran tinggalkan perutmu berkedut

menampar baju sama-sama keliaran

selirat urat-urat lelah menimbul, kuping mengeras

mencemeti baju, gantungkan diri

Engkau tahu usiamu bernot biru, merah, hijau?

tapi untuk dibelanjakan tangan siapa?

lelaki? melipat sendi, simpan dalam almari?

rapi untuk lelaki, ropol untuk perempuan

hingga usia kembali menyabitmu ke langit

jatuh perempuan lain mencangkuk rumah.

Umbra F.T. Penumbra