ad
ADN

Penggiat seni terjejas pendapatan dipelawa mohon bantuan makanan

7 Ogos 2021, 12:01 AM
Penggiat seni terjejas pendapatan dipelawa mohon bantuan makanan

PETALING JAYA, 7 OGOS: Wakil rakyat Seri Setia mengalu-alukan golongan penggiat seni yang terjejas pendapatan memohon bantuan makanan menerusi pusat khidmat masyarakatnya.

Halimey Abu Bakar berkata bantuan demi meringankan beban golongan berkenaan tidak terhad kepada mereka yang menetap dalam kawasan Seri Setia.

"Kita boleh salurkan nama untuk mendapat bantuan di kawasan mereka tinggal. Insya-Allah, kita akan bantu memandangkan mereka juga memainkan penting kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan pek makanan asas kepada 100 individu terjejas pendapatan akibat Covid-19 di Pusat Khidmat Rakyat DUN Seri Setia semalam.

Menurut Halimey setakat ini seramai 15 individu termasuk pelakon, penyanyi, penulis dan pelukis yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 menerima bantuan pusat khidmatnya.

Antara artis veteran pernah dibantu ialah Yeop Fadhil dan Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over.

"Walaupun bantuan hanya berbentuk makanan asas, namun mampu meringankan beban mereka yang terputus pendapatan akibat Covid-19," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.