AGENDA

Jumlah lonjak semula kepada 17,105 kes, jangkitan di Selangor terus menurun

3 Ogos 2021, 7:11 AM
Jumlah lonjak semula kepada 17,105 kes, jangkitan di Selangor terus menurun

SHAH ALAM, 3 OGOS: Walau jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara melonjak semula kepada 17,105 kes hari ini, angka di Selangor menunjukkan penurunan selama empat hari berturut-turut.

Jangkitan nasional menurun kepada 15,764 kes semalam dan 17,150 pada Ahad setelah merekodkan jumlah tertinggi dengan 17,786 kes pada Sabtu lalu.

Selangor pula terus menunjukkan aliran menurun jumlah kes setiap hari dari 6,400 kes pada Sabtu, diikuti 6,326 (Ahad), 6,067 (semalam) dan 5,836 kes hari ini.

Menurut angka yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini, beberapa negeri masih kekal dengan jumlah lebih 1,000 kes, tidak termasuk Kuala Lumpur dengan 2,309 kes.

Johor, Sabah dan Kedah pula tidak menunjukkan aliran menurun dalam tempoh empat hari tersebut, semuanya bertahan pada angka antara 1,002 hingga 1,511 kes.

Sementara itu Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Pahang menyaksikan jumlah agak besar antara lebih 600 hingga hampir 1,000 kes.

Jumlah kes hari ini di negeri dan wilayah lain seperti berikut:

Johor – 1,275

Kedah – 1,036

Sabah – 1,010

Perak – 967

Kelantan – 915

Negeri Sembilan – 816

Pulau Pinang – 798

Pahang – 628

Melaka – 508

Sarawak – 494

Terengganu – 429

Putrajaya – 72

Perlis – 7

Labuan – 5