ad
ADN

Selvax Komuniti Bandar Baru Klang turut libatkan warga asing

30 Jul 2021, 12:35 AM
Selvax Komuniti Bandar Baru Klang turut libatkan warga asing

SHAH ALAM, 30 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang tidak memfokus warga tempatan sahaja tetapi juga diberi kepada warga asing yang mempunyai dokumen.

Wakil rakyatnya Dato’ Teng Chang Khim berkata jangkitan Covid-19 tidak mengira kewarganegaraan malah warga asing boleh menjadi penyumbang penularan wabak.

"Kita memperuntuk 2,600 penerima untuk suntikan vaksin di kawasan ini yang diadakan dua hari bermula kelmarin.

"Sehingga kelmarin, seramai 1,122 penduduk DUN Bandar Baru Klang menerima vaksin Covid-19 melalui program Selvax Komuniti," katanya kepada SelangorKini.

Chang Khim yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata pihaknya mencadangkan suntikan vaksin diberikan kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen.

"Mereka juga boleh mendatangkan bahaya jika dibiarkan berada dalam komuniti tanpa suntikan vaksin.

"Namun, strategi pemberian vaksin ini akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang bagi memastikan kes Covid-19 mencatat penurunan," katanya.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.