AGENDA

62,000 syarikat minat beli vaksin negeri, suntik percuma untuk pekerja

5 Jul 2021, 6:27 AM
62,000 syarikat minat beli vaksin negeri, suntik percuma untuk pekerja

SHAH ALAM, 5 JULAI: Lebih 62,000 syarikat membabitkan 2.9 juta pekerja mendaftar untuk mendapat bekalan pelalian melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

EXCO perindustrian berkata sektor perkilangan dan perkhidmatan akan diberi keutamaan bagi menerima vaksin berkenaan berikutan hanya dua juta dos disediakan bagi tujuan itu.

Dato' Teng Chang Khim menjelaskan tumpuan turut diberikan kepada syarikat yang mempunyai ramai pekerja dan perusahaan kecil dan sederhana yang menggajikan kurang 200 kakitangan.

"Antara fokus utama Selvax Industri adalah syarikat berdaftar dan beroperasi di Selangor atau Lembah Klang selain syarikat beroperasi dalam 21 sektor perlu," katanya pada sidang media maya hari ini, yang turut disertai EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada majikan bagi diagihkan secara percuma untuk sejuta

pekerja negeri ini melalui program Selvax Industri.

Usaha Kerajaan Negeri itu bagi memelihara pekerja dan masyarakat sekitarnya memandangkan sejumlah kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.

Selain itu, Chang Khim berkata kira-kira 13,000 pekerja industri sudah menerima vaksin dalam fasa awal dan suntikan akan diberikan secara konsisten mulai 25 Julai sehingga Oktober depan.

Beliau juga mengingatkan majikan supaya tidak mengenakan bayaran kepada pekerja dan tidak menjual slot janji temu kepada syarikat atau individu lain.

"Kos keseluruhan program ini yang telah dipersetujui Kerajaan Selangor bagi syarikat atau majikan adalah sebanyak RM350 bagi dua dos suntikan," katanya.

Syarikat yang ingin berdaftar boleh berbuat demikian melalui laman sesawang https;//vax.selangkah.my atau hubungi pusat panggilan 1-800-22-6600.

Berikut 21 sektor perlu yang diutamakan untuk program Selvax Industri:

1. Air, elektrik dan tenaga

2. Kesihatan

3. Makanan dan minuman

4. Kilang bahan makanan, minuman dan keperluan asas harian

5. Veterinar dan keperluan makanan haiwan

6. Barangan keperluan harian atau kendiri

7. Keselamatan, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan

8. Pengangkutan (darat, air dan udara)

9. Perkhidmatan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang

10. Hotel dan penginapan (bagi tujuan kuarantin)

11. Perbankan, insurans, takaful dan pasaran modal

12. Industri bahan api dan pelincir

13. Komunikasi (media, telekomunikasi dan internet)

14. Pembersihan, pengurusan sisa pepejal dan pembentungan

15. E-dagang dan teknologi maklumat

16. Pembaikan kenderaan serta alat ganti berkaitan

17. Penjualan perkakasan, peralatan serta alat ganti

18. Perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan

19. Pembinaan, penyelenggaraan, pembaikan dan pendawaian bersifat kritikal

20. Perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan berkaitan

21. Perundangan dan kehakiman