BERITA UTAMA

Tingkat bio-sekuriti ladang elak penyakit kulit pada ternakan

5 Jun 2021, 2:34 PM
Tingkat bio-sekuriti ladang elak penyakit kulit pada ternakan
Tingkat bio-sekuriti ladang elak penyakit kulit pada ternakan

SHAH ALAM, 5 JUN: Penternak lembu dan kerbau negeri ini dinasihat meningkatkan bio-sekuriti ladang masing-masing bagi mencegah penyakit kulit kental (LSD) pada ternakan.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata penternak juga perlu mengehadkan bilangan pelawat masuk ke ladang serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk, lalat dan agas supaya jangkitan tidak berlaku.

"Proses pengasapan (fogging) sama ada menggunakan mesin atau tradisional juga boleh dilakukan. Jika mahu menerima ternakan baharu perlu ada permit memindah dan sijil kesihatan sah.

"Penternak perlu mengasingkan ternakan yang demam atau mempunyai gejala LSD dan segera menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS) Selangor untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Izham memaklumkan kes pertama LSD dikesan di Gombak pada Rabu lalu selepas lima lembu pedaging menunjukkan tanda jangkitan.

Pada 2 Jun, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengesan penyakit tersebut pada 42 lembu hidup dari Thailand yang dikuarantin.

Jumlah itu sebahagian daripada 1,434 lembu yang diimport pada 26 April lalu, yang diasingkan sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

Penyakit LSD menular di Asia sejak 2019 antaranya di Bangladesh, India, China dan terbaharu Thailand.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.