BERITA UTAMA

Beratur lebih satu kilometer bukan halangan sertai saringan percuma

21 Mei 2021, 1:17 PM
Beratur lebih satu kilometer bukan halangan sertai saringan percuma
Beratur lebih satu kilometer bukan halangan sertai saringan percuma

GOMBAK, 21 MEI: Seorang kakitangan awam sanggup beratur lebih satu kilometer (km) bagi melakukan saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Kuang di sini, hari ini.

Nik Salmina Abdullah, 44, berkata beliau terkejut melihat orang ramai sudah berbaris sejam lebih awal sebelum program itu bermula jam 9 pagi.

"Sampai-sampai dah ramai berbaris panjang. Ingatkan dah awal rupanya ada yang lebih awal datang, lebih satu kilometer jugalah saya beratur.

"Saya datang ini atas rasa tanggungjawab bagi memastikan ahli keluarga sihat kerana itu saya bawa tujuh lagi ahli keluarga bersama ke sini," katanya.

[caption id="attachment_472318" align="aligncenter" width="712"] Orang ramai beratur menunggu giliran bagi membuat ujian calitan ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Serbaguna Kuang, Gombak pada 21 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

R Renuga, 38, pula berkata inisiatif Kerajaan Selangor menawarkan perkhidmatan percuma mendorong beliau datang bersama lapan ahli keluarga untuk membuat saringan.

"Ini kelebihan warga Selangor kerana bukan semua orang layak dan berkemampuan membuat saringan.

"Situasi Covid-19 ketika ini juga membimbangkan kerana ada yang positif walaupun tidak bergejala jadi lebih baik datang untuk memastikan status kesihatan diri," kata Renuga yang merupakan seorang akauntan.

Ketua Kampung Baru Kundang, Jacky Foo berharap Kerajaan Negeri dapat mengadakan program itu secara berkala di lokasi sama bagi memastikan semua warga Kuang dapat menjalani saringan.

Katanya, permintaan berkenaan dibuat penduduk kepadanya kerana ada antara mereka tidak dapat hadir untuk membuat saringan kerana kekangan kerja.

"Walaupun di sini pinggir bandar, namun ada kalangan penduduk yang terkena jangkitan dari mereka yang tinggal di kawasan berdekatan atau mereka yang bekerja di bandar. Jadi kita harap lebih ramai dapat disaring bagi mengekang wabak ini," katanya.