AGENDA

Vaksin elak simptom teruk jika masih dijangkiti Covid-19

20 Apr 2021, 9:45 AM
Vaksin elak simptom teruk jika masih dijangkiti Covid-19

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Mereka yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 masih boleh dijangkiti dengan penyakit berbahaya itu, namun kemungkinan untuk mereka mendapat jangkitan yang teruk versi penyakit berkenaan telah dikurangkan dengan ketara selepas menerima suntikan.

Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia Dr M. Muralitharan berkata oleh yang demikian, suntikan vaksin sudah semestinya lebih efektif dalam mengekang jangkitan, terutama bagi golongan berisiko tinggi.

“Kadar jangkitan mulai berkurangan (selepas suntikan), jadi risiko dijangkitan turun dengan ketara,” katanya dalam program Midday Update terbitan Bernama TV, Isnin.

Dr Muralitharan merupakan antara anggota INFOVAX, komuniti siri pendidikan dan kesedaran berhubung vaksin Covid-19 yang dilaksanakan Malaysian Medical Association Public Health Society (MMA PHS).

Beliau berkata risiko bagi mereka yang telah disuntik dengan vaksin untuk dijangkiti dengan penyakit itu adalah amat rendah, namun untuk menjangka mereka tidak akan dijangkiti lagi dengan Covid-19 selepas suntikan, ia adalah anggapan yang salah.

Berhubung vaksin, beliau turut menolak kebimbangan mengenai keberkesanan vaksin Sinovac susulan pelbagai maklumat yang tidak tepat yang tersebar, dan menurutnya vaksin itu selamat.

Dr Muralitharan berkata vaksin itu diluluskan berdasarkan kepada data diterbitkan yang menunjukkan bahawa ia selamat serta berkesan dalam menurunkan jangkitan Covid-19, dan data penemuan di seluruh dunia amat jelas mengenai perkara itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.