ad
AGENDA

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah atas kemangkatan Putera Philip

10 Apr 2021, 12:09 AM
Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah atas kemangkatan Putera Philip

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada Ratu Elizabeth II dan kerabat diraja Britain atas kemangkatan suami tercinta, Putera Philip, Duke of Edinburgh.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua bertitah Putera Philip akan sentiasa dikenang oleh baginda berdua, kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan teguh baginda terhadap Ratu Elizabeth II, komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada Komanwel yang Malaysia adalah anggotanya dan usaha baginda untuk menggalakkan hubungan yang lebih erat antara United Kingdom dan Malaysia.

“Ingatan dan doa dititipkan kepada baginda Ratu, kerabat diraja dan rakyat Britain yang turut merasai pemergian Putera Philip,” menurut kenyataan itu.

Istana Buckingham mengumumkan kemangkatan Putera Philip pada usia 99 tahun di Istana Windsor.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.