ad
AGENDA

Contohi Selangor bantu rakyat daftar suntikan vaksin - Anwar

16 Mac 2021, 10:34 AM
Contohi Selangor bantu rakyat daftar suntikan vaksin - Anwar

SHAH ALAM, 16 MAC: Ketua pembangkang meminta negeri lain mengikut jejak langkah Kerajaan Selangor yang turun padang membantu masyarakat mendaftar pengambilan suntikan vaksin.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan Selangor bergerak ke kawasan tertentu dan pergi ke rumah penduduk dilihat berkesan memandangkan proses pendaftaran vaksin rumit.

"Proses dari MySejahtera, pendaftaran serta pemeriksaan terlalu rumit. Banyak borang perlu diisi, jadi untuk orang kampung dan orang biasa ia menyusahkan.

"Kerajaan perlu rangka modul untuk mudahkan dan percepatkan proses pendaftaran ini. Sekarang peratusan yang mendaftar sangat rendah," katanya pada sidang media hari ini.

Anwar berkata beliau turut meminta semua Ahli Parlimen KEADILAN menggunakan pejabat masing-masing sebagai tempat rakyat mendaftar.

Pada 6 Mac lalu, Dato' Menteri Besar Dato'Seri Amirudin Shari memaklumkan pemimpin akar umbi digerakkan ke kawasan tumpuan awam seperti pasar selain berkunjung dari rumah ke rumah sebagai langkah menarik orang ramai melakukan pendaftaran.

Sehingga semalam, seramai 321,331 individu menerima suntikan di seluruh negara dengan Selangor kekal tertinggi membabitkan 38,632 orang.

Program imuniasi secara berfasa mulai 24 Februari mengutamakan petugas hadapan, disusuli kumpulan berisiko tinggi dan rakyat berusia 18 tahun ke atas.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.