ad
AGENDA

Majikan perlu sedia pusat kuarantin pekerja asing positif Covid-19

8 Jan 2021, 5:17 AM
Majikan perlu sedia pusat kuarantin pekerja asing positif Covid-19

PUTRAJAYA, 8 JAN: Majikan perlu menyediakan pusat kuarantin untuk mengasingkan pekerja asing mereka yang disahkan positif Covid-19, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata kos perbelanjaan perubatan serta penyaraan pekerja asing semasa tempoh pengasingan tersebut turut dibiayai oleh majikan masing-masing.

Majikan juga digesa melaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dengan segera sekiranya ada dalam kalangan pekerja asing mereka, positif Covid-19 selepas saringan dilakukan, katanya.

"Majikan perlu bertindak lebih proaktif dalam membendung penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan pekerja asing yang mereka gajikan. Ini susulan peningkatan kes positif Covid-19 yang telah mencecah lebih 125,000 kes," katanya.

Saravanan berkata majikan juga perlu melakukan ujian saringan Covid-19 untuk pekerja asing selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No.9) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.

"Ini bagi membolehkan pengesanan awal pekerja asing yang positif Covid-19 dan seterusnya membendung penularan pandemik tersebut kepada rakan sekerja mereka yang lain," kata Saravanan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.