ad
BERITA UTAMA

MBSJ: Pusat penjaja baharu strategik, banyak kemudahan asas

6 Jan 2021, 12:26 AM
MBSJ: Pusat penjaja baharu strategik, banyak kemudahan asas

SHAH ALAM, 6 JAN: Pusat penjaja baharu yang akan menempatkan peniaga Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai berada dalam kawasan strategik dan dilengkapi pelbagai kemudahan asas.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata lokasinya bersebelahan tapak pasar tani yang menjadi tumpuan orang ramai pada setiap Ahad.

Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan tapak baharu itu juga bersebelahan pusat perniagaan Uptown Puchong yang pernah popular dalam kalangan penduduk.

"Bekas tapak Uptown Puchong bersebelahan pusat penjaja berkenaan akan dibangunkan sebagai medan selera dan padang bola pada tahun ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan pusat perniagaan tersebut turut menyediakan taman permainan kanak-kanak dan parkir yang luas bagi memudahkan urusan pengunjung.

Jelas Azfarizal lagi, penjaja akan diberi tapak lebih besar berkeluasan 10x10 kaki berbanding ukuran biasa 8x8 kaki selain kemudahan kiosk seragam bersaiz 6x3 kaki.

Tambahnya, pemindahan berkenaan sebahagian daripada inisiatif MBSJ bagi menempatkan semula penjaja sekitar kawasan Puchong Permai secara sistematik.

"Terdapat beberapa lagi penjaja yang dikenal pasti di kawasan berhampiran yang akan dipindahkan ke pusat penjaja tersebut bagi fasa seterusnya," kata beliau.

Penjaja diberi masa mencukupi untuk berpindah dan mengosongkan premis sejak 2019, namun ditangguh beberapa kali selepas mereka merayu tempoh sehingga November 2020.

Pada 28 Disember tahun lalu, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang melanggar syarat permit sementara termasuk menyewakan lesen kepada pihak ketiga demi mengaut untung.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 46(1)(a) & 70(13)(c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.