AGENDA

Hampir 1,000 ditahan terlibat 'Macau Scam' sehingga Okt

30 Nov 2020, 4:19 AM
Hampir 1,000 ditahan terlibat 'Macau Scam' sehingga Okt

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Sebanyak 993 individu ditahan dalam tempoh 10 bulan tahun ini

selepas terlibat dalam kegiatan 'Macau Scam'.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin berkata tangkapan pada 1 Januari hingga 31

Oktober itu melibatkan 912 warga tempatan dan 81 rakyat asing.

"Pertuduhan yang dibuat berkaitan kes Macau Scam ini ialah 605 orang," katanya menjawab

soalan tambahan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) mengenai jumlah kes penipuan Macau

Scam serta peringkat umur penjenayah yang terlibat pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari

ini.

Beliau berkata pada masa ini, belum ada kajian mengenai umur mereka yang terlibat dalam

kegiatan itu dan pihak Kementerian Dalam Negeri akan membuat penelitian berhubung perkara

berkenaan.

Dalam pada itu, Jonathan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dengan

pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank

Negara Malaysia, syarikat telekomunikasi dan institusi perbankan untuk membanteras jenayah

penipuan dalam talian.

Selain itu, katanya sebuah Jawatankuasa Teknikal Jenayah Siber yang terdiri daripada PDRM

dan SKMM telah ditubuhkan pada Mac 2019 bagi tujuan sama.

Beliau berkata di peringkat dalaman PDRM pula, satu Pasukan Petugas Khas ditubuhkan bagi

mengenal pasti dan memantau trend terkini kes jenayah dalam talian serta bekerjasama dengan

agensi seperti SKMM yang membantu dari segi kepakaran dan teknologi.

-BERNAMA