BERITA UTAMA

Baiki struktur retak, penghuni Flat Taman Seri Berembang diarah pindah

3 Nov 2020, 8:15 AM
Baiki struktur retak, penghuni Flat Taman Seri Berembang diarah pindah

SHAH ALAM, 3 NOV: Penghuni 16 unit blok C Flat Taman Seri Berembang, Pelabuhan Klang diminta berpindah dalam tempoh terdekat untuk membaiki keretakan struktur bangunan.

EXCO kerajaan tempatan berkata syor oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) hasil siasatan teknikal untuk menentukan keutuhan struktur kawasan berhampiran tangga blok tersebut.

"Sehubungan itu, penduduk terlibat ditawar penempatan sementara di Projek Perumahan Rakyat Hicom di Seksyen 26 Shah Alam, Pangsapuri Smart Sewa di Batu 4 Kapar dan Pangsapuri Klang Villa.

"Penduduk juga boleh mencari sendiri penempatan mengikut kemampuan masing- masing, namun tertakluk kepada perbincangan dengan pihak berkaitan," kata Ng Sze Han.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berhubung usaha menyelesaikan keretakan Flat Taman Seri Berembang pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sze Han berkata perbincangan lanjut berhubung kos perpindahan dibuat selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat tamat.

Pada 29 Oktober, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam lawatannya berkata satu daripada lima blok pangsapuri berusia 22 tahun itu retak dan pecah serta tidak lagi selamat didiami.

Justeru, Zuraida Kamaruddin meminta kerjasama Kerajaan Negeri dengan memberi sebidang tanah untuk menempatkan semula kira-kira 3,000 penduduk di situ.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.