AGENDA

Agong: Beri sokongan padu Belanjawan 2021, pulih ekonomi

28 Okt 2020, 6:30 AM
Agong: Beri sokongan padu Belanjawan 2021, pulih ekonomi

SHAH ALAM, 28 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ahli parlimen untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara kesan Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menegaskan Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan.

Beliau berkata ia bagi meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani Covid-19 daripada terus merebak.

"Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi merugikan negara dan seluruh rakyat menjadi mangsa," kata Ahmad Fadil dalam kenyataan media.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang dibentang di Parlimen pada 6 November.

"Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan Seri Paduka Baginda agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19," katanya.

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.