AGENDA

Covid-19 belum ada ubat, jangan terpedaya - KP kesihatan

22 Okt 2020, 2:13 PM
Covid-19 belum ada ubat, jangan terpedaya - KP kesihatan

PUTRAJAYA, 22 OKT: Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dan membeli ubat-ubatan yang diiklankan di aplikasi jual beli dalam talian yang kononnya berkesan untuk merawat jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, tiada lagi mana-mana ubat yang disahkan berkesan serta mampu merawat individu daripada jangkitan Covid-19.

Katanya sekiranya wujud ubat yang mampu menyembuhkan Covid-19 ini, sudah tentu individu itu telah menjadi seorang jutawan.

“Setakat ini, masih tiada ubat berkesan untuk rawat penyakit ini dan kalau mereka ada ubat sembuhkan (Covid-19) sudah tentu individu ini telah kaya raya kerana satu dunia mencari ubat ini,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai iklan ubat-ubatan kononnya mampu menyembuhkan Covid-19 yang dijual di aplikasi jual beli dalam talian.

Semakan Bernama di aplikasi jual beli dalam talian ini mendapati ubat-ubatan dari negara China itu dijual dengan harga RM12.

Isnin lepas, Dr Noor Hisham berkata penggunaan ubat antivirus remdesivir didapati tidak berkesan dalam merawat pesakit Covid-19, serta tidak membantu mengurangkan kes kematian akibat wabak itu.

Menurutnya, kajian klinikal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu ‘Solidarity trial’ turut membuktikan ubat anti-malaria hydroxychloroquine, serta lopinavir dan ritonavir, tidak berkesan dalam merawat pandemik itu.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata ubat antivirus dexamethasone, iaitu ubat menghalang radang paru-paru didapati berkesan dan memberi hasil positif terhadap kesihatan pesakit Covid-19.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.