ad
AGENDA

MKN perinci PKPB Klang, Selangor beri cadangan ubah suai

8 Okt 2020, 5:37 AM
MKN perinci PKPB Klang, Selangor beri cadangan ubah suai

SHAH ALAM, 8 OKT: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang termasuk beberapa cadangan pengubahsuaian daripada Kerajaan Negeri akan diperinci Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata perkara berkenaan disampaikannya dalam sidang khas MKN bersama perdana menteri secara maya jam 11 pagi tadi.

Katanya, cadangan itu dibuat berdasarkan maklum balas pelbagai agensi dan jabatan melalui mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

"Untuk penyelarasan dan keseragaman informasi, MKN di bawah kerajaan persekutuan akan mengumumkan perincian pelaksanaan PKP Bersyarat Klang.

"Kerajaan Negeri akan bekerjasama sebaik mungkin dengan semua agensi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara," kata Amirudin dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Selangor juga meneruskan saringan bersasar Covid-19 yang dijalankan mulai 4 Oktober lalu bagi membendung wabak itu.

Seramai 337 pemastautin Selangor yang ada sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 September menjalani pemeriksaan percuma di Klinik Selcare. Satu kes positif dikesan setakat semalam.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.