KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meletakkan sasaran jualan RM100 billion bagi Program Jualan Malaysia (PJM) dan RM513 juta bagi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata untuk itu kementerian berkenaan berkolaborasi dengan 25 pusat beli-belah di sekitar Kuala Lumpur bagi memperhebatkan lagi kedua-dua program terbabit.
"Kerjasama ini dijalankan untuk melaksanakan insiatif jualan berpatutan atau promosi di premis masing-masing menerusi peningkatan pembelian barangan tempatan.
"Program ini merupakan lanjutan daripada pelancaran Kempen Jualan Malaysia 2020 dan Kempen Beli Barang Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 29 Julai lalu," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Kembara Pengguna PJM 2020 dan KBBM di sini hari ini.
Beliau berharap dengan program sedemikian, sektor peruncitan di sekitar Kuala Lumpur dapat dirangsang untuk meningkatkan pembelian barangan tempatan.
Dalam perkembangan lain, Rosol berkata kira-kira 90 peratus pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seluruh negara sudah kembali pulih seperti sebelum pandemik Covid-19.
"Saya telah berjumpa dengan beberapa pengusaha PKS dan mereka memberitahu perniagaan semakin pulih dan sambutan juga amat menggalakkan setelah menyertai KBBM yang dilaksanakan oleh KPDNHEP. Tanpa program ini ia mungkin tidak akan berlaku seperti yang diharapkan," katanya.
Selain itu, beliau berkata pengusaha yang ingin melakukan perubahan terhadap produk seperti pelabelan, pembungkusan dan pemasaran boleh berhubung dengan KPDNHEP.
Beliau menyeru pengusaha baharu dan lama yang menghadapi masalah memasarkan produk mereka menghubungi KPDNHEP dengan mengesyorkan jualan di pusat beli-belah besar.
-BERNAMA


