ad
AGENSI

Covid-19: LZS peruntuk RM1 juta bantu pekerja syarikat terkesan

15 Sep 2020, 12:28 AM
Covid-19: LZS peruntuk RM1 juta bantu pekerja syarikat terkesan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntuk RM1 juta untuk membantu pekerja syarikat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua pegawai eksekutifnya berkata mereka dibantu terdiri dalam kalangan pekerja daripada syarikat yang pernah membayar zakat perniagaan kepada agensi tersebut.

"Ada syarikat yang membayar zakat pada setiap tahun tetapi perniagaan mereka alami kerugian akibat PKP, jadi LZS terpanggil untuk membantu pekerja yang hilang pekerjaan atau hanya dibayar separuh gaji.

"Ini salah satu unsur dakwah yang mana kita bantu mereka saat susah, sebelum ini syarikat tempat mereka bekerja bayar zakat dan hasil kutipan kita guna untuk tolong orang lain, jadi apa salahnya sekarang kita bantu mereka pula," kata Saipolyazan Mat Yusop selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangkan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital oleh LZS di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Beliau berharap syarikat korporat terus membayar zakat memandangkan golongan asnaf, fakir dan miskin di Selangor semakin meningkat susulan penularan Covid-19.

“Kita mendapati zakat dikeluarkan syarikat besar banyak membantu LZS menyalurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan dan kutipan zakat ini amat penting bagi memastikan bantuan terus disalurkan," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.