BUDAYA

I/N

1 Sep 2020, 3:08 AM
I/N

Moga bukan engkau yang akan membaca baris-baris ini;

sebuah pengakuan terpendam yang tak ingin diucapkan

— meluluh dari dalam, sejak suaramu singgah di telinga.

Aku tak pernah membayangkan akan terpukul

sebegini teruk oleh ketidak-pedulianmu.

Menginginkanmu, seperti kemilau dari masa lalu

yang tak sempat hadir menunjukkan dirinya.

Alis, tipis meliuk.

Bibir, senyuman janggal.

Parut, bekas dosa lama.

Malam ketika darah naik ke kepala dan melemaskan,

ngerimu tumpah pada senyuman; aku memohon keampunan

terlebih dahulu untuk kesilapan yang bakal terjadi.

Dua kali bulan mengambang hingga ke pagi

nafas tersekat, telunjuk runcingmu menikam muka.

Jika itu hukuman, aku merelakan rasuk menderu

rindu yang cemburu.

Aku bukan tak berani merangkulmu;

ini rasa pekat, penakluk ganas

bersiap membadai dan melanggar.

Malangnya aku belum mahu bermain api

walau mata jalangmu telah menjilat dan

melecurkan belakang tubuhku.

Jangan hampiri kalau takut ditelan kegelapan

kerana aku bukan cahayamu.

Suara protes dari hujung talian;

izinkan aku menyedut seluruh jiwa raga

menghisapmu sampai kering kontang

menggeletar.

Aku tuliskan ini untuk memadam nama,

wajah dan lembut jemarimu dari ingatan.

Selamat bersemadi di kalbu yang lain.

Tetapi sial, aku gagal.

Hafiz Hamzah