AGENSI

Jangan terlalu selesa walau jangkitan wabak turun

11 Jul 2020, 2:21 PM
Jangan terlalu selesa walau jangkitan wabak turun

SHAH ALAM, 11 JULAI: Rakyat negeri ini diingatkan tidak terlalu selesa meskipun kes jangkitan tempatan Covid-19 semakin menurun.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata virus yang tersebar awal tahun ini masih wujud dan boleh menjangkiti mana-mana individu.

"Jangan selesa dengan situasi sekarang sehingga pengisytiharan rasmi dibuat. Virus masih wujud dalam kalangan kita dan boleh berjangkit," tulis pasukan itu di Twitter malam ini.

Selangor mencatatkan tiga kes baharu Covid-19 dengan dua daripadanya merupakan saringan di Depot Tahanan Imigresen Sepang membabitkan warga asing. Keseluruhannya, negeri itu merekodkan 2,079 kes.

Sementara itu, STFC memaklumkan Hulu Selangor daerah ketujuh diisytihar zon hijau. Dua lagi daerah berada dalam zon kuning iaitu Petaling dengan dua kes aktif dan Sepang tiga kes aktif.

"Jangan cemarkan dengan tingkah laku tidak berdisiplin dan leka melaksanakan tatacara operasi piawai (SOP)," tulis pasukan itu lagi.

Malaysia merekodkan 8,704 kes setakat ini dengan 8,515 pesakit berjaya sembuh. Jumlah kematian pula seramai 122 orang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.