SHAH ALAM, 3 JUN: Kes Covid-19 di Selangor turun selama tiga hari berturut-turut apabila hanya dua kes baharu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari ini berbanding 11 kes pada 1 Jun lalu.
Menerusi data perkongsian Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Twitter, jumlah keseluruhan kes wabak itu di negeri ini sebanyak 1,928.
"Corak kes baru dibanding semalam turun, amalkan norma baru sebagai warga Selangor dan patuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi premis yang mahu selamat berniaga," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Malaysia merekodkan 93 kes baharu positif Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 7,970.
Sementara seramai 61 pesakit pulih menjadikan jumlah kumulatif yang pulih sepenuhnya adalah 6,531 kes.
Tiada kes kematian dilaporkan untuk 12 hari berturut-turut sejak 23 Mei lalu menjadikan jumlah kumulatif kekal 115 kes.



