AGENDA

Kes Covid-19 turun, pembawa virus tanpa simptom masih ancaman

12 Mei 2020, 2:18 PM
Kes Covid-19 turun, pembawa virus tanpa simptom masih ancaman

SHAH ALAM, 12 MEI: Sebanyak tiga kes baharu Covid-19 dilaporkan di Selangor hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 1,610 kes.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengingatkan walaupun data kes baharu sudah dilandaikan, tetapi virus tersebut masih wujud di sekeliling masyarakat.

"Pembawa virus yang tidak bersimptom masih lagi merupakan ancaman. Pada masa sama, warga Selangor masih lagi tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD).

"Maka sehingga dimaklumkan, anda diminta terus patuh dengan empat perkara asas bagi menjalankan sebarang urusan iaitu penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menggunakan SELangkah untuk mendaftar pelanggan," katanya menerusi Twitter malam ini.

Malaysia merekodkan 16 kes Covid-19 hari ini, iaitu terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Daripada jumlah tersebut sembilan kes membabitkan warga asing.