SHAH ALAM, 11 MEI: Proses penuh teliti dilakukan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan berjaya menghasilkan lebih 300 biji telur penyu di salah sebuah pantai di Port Dickson, kata ahli parlimennya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia membuktikan pegawai jabatan itu menjalankan tugas penuh bertanggungjawab dengan semua telur itu kini ditempatkan di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson untuk dieram dan ditetaskan bagi menjamin kelangsungan penyu di perairan negeri terbabit.
“Saya berkesempatan meninjau lokasi pendaratan untuk penyu bertelur di salah sebuah pantai di Port Dickson dan terharu dengan dedikasi pegawai di Jabatan Perikanan kerana dari 100 sekarang sudah 300 biji (telur penyu).
“Saya tengok mereka begitu berhati-hati dan menunjukkan keprihatinan terhadap telur penyu sehingga menetas malah sudah agak dewasa sekitar tiga hingga empat bulan,” katanya ketika bersiaran langsung di Facebook malam tadi.
Anwar berkata beliau turut diberi taklimat oleh pegawai di jabatan berkenaan mengenai proses penjagaan dan pemeliharaan telur penyu sehingga menetas.
“Saya dengar penuh khusyuk dan secara tidak langsung ilmu tentang penyu ini bertambah pada pagi tadi (semalam).
“Saya boleh nampak di mana tempat penyu bertelur dan mandi, semua itu diterangkan dengan perasaan kasih kepada penyu. Terima kasih kepada semua pegawai,” katanya.


