AGENDA

Lapan kes baharu Covid-19 di Selangor, turun banding semalam

10 Mei 2020, 2:39 PM
Lapan kes baharu Covid-19 di Selangor, turun banding semalam

SHAH ALAM, 10 MEI: Terdapat lapan kes baharu Covid-19 di Selangor hari ini berbanding 10 yang direkodkan semalam.

Mengikut statistik Bilik Gerakan Covid-19 Selangor, enam kes dicatatkan di Hulu Selangor manakala satu kes masing-masing di Gombak dan Sabak Bernam.

"Ia menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 1,604 kes dengan 202 kes aktif manakala 1,340 pesakit pulih dan dibenar keluar hospital.

"Kes kematian pula kekal 20 orang iaitu membabitkan Petaling (lapan), Klang (lima), Hulu Langat (empat) serta Gombak dan Sabak Bernam (satu)," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor memaklumkan taburan data kes baharu bagi seminggu terakhir kelihatan stabil dan graf kes dapat dilandaikan.

"Justeru, warga Selangor diminta mengamalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menggunakan SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) ketika masuk ke premis bagi menjalankan sebarang urusan," katanya.

Sebanyak 67 kes baharu dikesan hari ini dengan 49 kes membabitkan warga asing menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,656 kes.