AGENSI

Covid-19: Sabak Bernam kembali jadi zon kuning

10 Mei 2020, 2:29 PM
Covid-19: Sabak Bernam kembali jadi zon kuning

SHAH ALAM, 10 MEI: Daerah Sabak Bernam yang berada dalam zon hijau semalam kembali kepada zon kuning susulan pertambahan satu kes aktif Covid-19 dari mukim Pasir Panjang hari ini.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor memaklumkan pertambahan kes baharu itu mengubah demografi data kes aktif di negeri ini.

"Namun, hanya tinggal satu kes aktif saja yang tinggal bagi Sabak Bernam dan Sepang iaitu di Mukim Pasir Panjang dan Mukim Labu.

"Setakat ini dua daerah tersebut paling hampir berstatus zon hijau. Teruskan patuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD)," tulisnya di Facebook.

Lima daerah lain yang berada dalam zon kuning iaitu Kuala Selangor (13), Klang (15), Hulu Langat (32), Hulu Selangor (sembilan) dan Sepang (satu).

Kuala Langat pula masih memegang status zon hijau selepas tiada lagi kes aktif dikesan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Dua daerah yang masih diklasifikasikan sebagai zon merah adalah Gombak (71) dan Petaling (60).

Hari ini, Selangor merekodkan jumlah kes terkumpul sebanyak 1,604 dengan 202 kes aktif dan pertambahan lapan kes baharu.

Malah, negeri ini turut merekodkan sebanyak 1,340 kes sembuh dengan 20 kematian.