SHAH ALAM, 8 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor semalam menyita sebuah premis perniagaan di Selayang Baru kerana gagal mempamerkan dan menyelenggara tanda harga barangan yang dijual.
Tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) turut dikenakan ke atas tiga premis lain yang dikompaun RM1,000.
“Semasa pemeriksaan, empat tindakan kes diambil terhadap empat premis perniagaan kerana gagal mempamerkan dan menyelenggara tanda harga barangan yang dijual.
“Tiga premis peniagaan dikompaun serta-merta sebanyak RM 1,000 manakala satu premis perniagaan menjual tepung gandum dan gula disita untuk siasatan di bawah AKHAP 2011,” katanya melalui kenyataan di Facebook.
KPDNHEP berkata pemeriksaan oleh penguat kuasa cawangan Gombak turut dilakukan ke atas resit dan invois pembelian barangan untuk memastikan peniaga tidak mengambil keuntungan melampau.
“Peniaga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan etika perniagaan yang baik serta mematuhi peraturan dan undang-undang manakala pengguna pula perlu bijak dalam berbelanja,” katanya.


