AGENSI

Pasangan mahu nikah diminta mohon kebenaran khas sebelum 30 April

28 Apr 2020, 1:47 AM
Pasangan mahu nikah diminta mohon kebenaran khas sebelum 30 April

SHAH ALAM, 28 APRIL: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meminta pasangan yang mahu bernikah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengemukakan permohonan kebenaran khas pengarah Jais sebelum 30 April ini.

Jais menerusi kenyataan di Facebook berkata ia bagi memastikan kelancaran proses persediaan teknikal di peringkat Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing.

"Permohonan yang diterima selepas 30 April akan diproses pada 7 hingga 12 Mei (jika PKP tamat 12 Mei) bagi penyusunan semula majlis akad nikah menerusi sidang video di peringkat daerah sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Bagaimanapun, pembukaan permohonan ini akan tamat serta-merta jika tempoh PKP berakhir. Manakala, tatacara pernikahan selepas PKP akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," jelas kenyataan itu.

Jais turut menasihatkan pasangan untuk berbincang dan mendapatkan persetujuan wali serta ahli keluarga terlebih dahulu sebelum membuat permohonan mendapat kebenaran khas tersebut.

Mengikut statistik, sehingga kini Jais menerima 456 permohonan kebenaran khas bernikah dengan 387  diluluskan manakala 179 pasangan sudah melakukan akad nikah menerusi sidang video.

Sebelum ini, Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata majlis akad nikah dalam tempoh PKP di negeri ini dibenarkan melalui sidang video, dengan syarat mendapat kebenaran khas Jais.

Beliau berkata garis panduan terperinci serta ketetapan baharu yang strategik disediakan bagi memastikan pelaksanaan majlis menepati hukum, dilaksanakan dengan standard wajar, mudah difahami serta diikuti oleh pasangan terlibat kerana kaedahnya lain daripada kebiasaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.