AGENDA

Jangan ambil mudah kawasan tiada kes, terus patuh PKP

25 Apr 2020, 9:51 AM
Jangan ambil mudah kawasan tiada kes, terus patuh PKP

SHAH ALAM, 25 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melahirkan kebimbangan terhadap sikap penduduk di zon hijau yang mengambil mudah situasi ketiadaan kes Covid-19 di kawasan mereka sehingga tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya khuatir apabila masyarakat semakin alpa dengan menganggap wabak itu berjaya ditamatkan sedangkan 'peperangan' menentang wabak itu belum sampai ke penghujungnya.

"Oleh itu, KKM menyeru kepada semua masyarakat termasuk mereka di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon hijau tidak leka dan kekal mematuhi PKP.

"Virus Covid-19 adalah musuh kita bersama, namun harus diingat bahawa kelalaian dan sikap ambil mudah masyarakat pula adalah sekutu kepada virus ini," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata masyarakat perlu mengamalkan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain di samping mengamalkan tahap kebersihan diri tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun.

"KKM akan terus memantau perkembangan kejadian Covid-19 melalui segala maklumat diperoleh dan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.