AGENSI

Ramadan normal baharu beri pengalaman berbeza buat mahasiswa

24 Apr 2020, 3:19 PM
Ramadan normal baharu beri pengalaman berbeza buat mahasiswa
Ramadan normal baharu beri pengalaman berbeza buat mahasiswa

SHAH ALAM, 24 APRIL: Ramadan kali ini yang dihadapi dalam suasana normal baharu memberi pengalaman pahit dan manis kepada segelintir mahasiswa di kampus masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muhamad Iqbal Hakim Nadhri, 20, berkata menjalani hari pertama ibadah puasa di perantauan terasa sedikit berbeza dan sayu kerana biasanya ketika ini beliau akan bersama keluarga di Jitra, Kedah.

[caption id="attachment_404142" align="alignright" width="300"] Muhammad Iqbal Hakim Nadhri[/caption]

"Ia memang agak menyedihkan, jika sebelum ini emak dan ayah akan kejutkan bangun sahur tetapi sekarang perlu dibuat sendiri dengan bantuan jam loceng telefon bimbit.

"Malah seperti kelaziman tahun sebelumnya saya berpeluang solat berjemaah dengan keluarga namun kini dalam suasana berbeza kerana wabak Covid-19 yang melanda negara," kata penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Dengan Multimedia Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) kepada SelangorKini.

Anak ketiga daripada empat beradik yang juga Timbalan Yang Dipertua 1 Majlis Perwakilan Pelajar Kuis itu bersyukur kerana ramai pihak mengambil berat keperluan dan kebajikan kira-kira 170 pelajar yang masih menghuni kolej kediaman tersebut sepanjang tempoh PKP.

"Kerajaan juga ada menyediakan makanan sahur, berbuka dan moreh. Itupun sudah cukup membantu pelajar kerana sepatutnya kami sedang cuti semester," katanya.

Nada sama dilontarkan penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Sumber, Siti Nurizzati Fatihah Zazuri, 20, yang mengakui suasana Ramadan tahun ini sedikit suram selepas tidak berpeluang mengerjakan solat tarawih bersama keluarga di masjid.

Katanya, walaupun sudah biasa tinggal di asrama sejak tingkatan satu, namun perasaan sedih sukar dibendung kerana kali ini terpaksa berjauhan daripada keluarga ketika berbuka puasa pada hari pertama.

"Tetapi saya gembira kerana kebajikan terjaga dan segala kemudahan termasuk makanan disediakan pihak pengurusan kolej, sekurang-kurangnya boleh mengubat kerinduan pada kampung," katanya yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.