AGENSI

Hilang pendapatan, ibu tunggal paling terkesan dalam PKP

24 Apr 2020, 8:05 AM
Hilang pendapatan, ibu tunggal paling terkesan dalam PKP

SHAH ALAM, 24 APRIL: Golongan ibu tunggal dilihat paling terkesan di Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana hilang sumber pendapatan.

Kaji selidik Institut Wanita Berdaya (IWB) mendapati 45 peratus daripadanya hilang pekerjaan selepas mengalami masalah seperti cuti tanpa gaji, penamatan kontrak pekerjaan dan perniagaan ditutup.

"Hampir separuh ibu tunggal bergantung kepada upah harian sebagai sumber pendapatan manakala 12 peratus pula sangat terjejas dengan pelaksanaan PKP kerana mereka merupakan pencari rezeki keluarga dan satu-satunya penjaga tanggungan," menurut laporan IWB berkenaan.

Hampir separuh ibu tunggal yang terbabit kaji selidik juga mengalami masalah tanggungan tiada penjaga ketika keluar bekerja kerana kebanyakan mereka menggunakan khidmat pengasuh.

Kajian dalam talian IWB bagi mengetahui kesan PKP dalam kehidupan wanita terutama dalam aspek ekonomi selama empat hari bermula 27 Mac lalu itu turut menemui 75 peratus ibu tunggal akan mengalami masalah kewangan berikutan simpanan hanya bertahan untuk empat minggu.

"Jika pelaksanaan PKP dilanjutkan, 67 peratus ibu tunggal ini percaya mereka tidak bersedia dari sudut kewangan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.