AGENDA

Lanjutan PKP: Pembekal makanan, ubatan boleh terus beroperasi

1 Apr 2020, 5:16 AM
Lanjutan PKP: Pembekal makanan, ubatan boleh terus beroperasi

PUTRAJAYA, 1 APRIL: Syarikat pengeluar, pemborong, logistik, peruncitan dan e-dagang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagaimanapun berkata pelaksanaan operasi semasa PKP tertakluk kepada arahan lain daripada Majlis Keselamatan Negara, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Kementerian berharap pemain industri memberi kerjasama penuh sepanjang tempoh PKP dan mematuhi syarat untuk beroperasi seperti yang ditetapkan," kata menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini.

Nanta menjelaskan surat pengesahan KPDNHEP kepada pemain industri hanya membabitkan sektor bekalan makanan dan perubatan.

Pengesahan itu turut dipanjangkan kepada setiap rantaian pengedaran serta subsektor yang menyokong dan membantu pemain industri dalam sektor bekalan makanan dan perubatan.

Selain itu, Nanta berkata kebenaran untuk bekerja hanya terpakai kepada pekerja yang disenaraikan dalam permohonan syarikat yang diluluskan oleh KPDNHEP.

"Pihak majikan perlu menyediakan salinan surat kelulusan KPDNHEP berserta lampiran senarai pekerja untuk memudahkan pergerakan mereka ke tempat kerja, menghantar bekalan dan pulang ke lokasi kediaman," katanya.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan penularan virus Covid-19 dapat dibendung secara efektif.

Bagi mendapatkan penerangan lanjut, pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian 03-8882 5881/ 5905 atau emel kepada spip@kpdnhep.gov.my.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.