AGENDA

Selangor laksana proses nyah kuman di premis tumpuan - MB

31 Mac 2020, 5:00 AM
Selangor laksana proses nyah kuman di premis tumpuan - MB
Selangor laksana proses nyah kuman di premis tumpuan - MB

SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan Negeri giat melaksanakan proses nyah kuman di semua premis perniagaan dan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu akan turut meliputi semua rumah ibadat di negeri ini termasuk masjid, surau, kuil dan tokong dalam fasa seterusnya.

“Kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertujuan untuk melindungi orang ramai yang mengunjungi premis berkenaan daripada dijangkiti virus Covid-19,” katanya menerusi Twitter hari ini.

[caption id="attachment_389870" align="alignleft" width="500"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Amirudin berkata beberapa lokasi sudah selesai melaksanakan proses nyah kuman antaranya seperti Majlis Daerah Sabak Bernam melakukan kerja-kerja pembersihan di Stesen Bas Sungai Besar dan pasar awam Bagan Nakhoda Omar.

"Sementara itu Majlis Perbandaran Selayang pula menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan Selayang dan Gombak," katanya.

Pada 28 Mac lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan proses nyah kuman dilakukan bermula semalam di seluruh negara.

Usaha pelaksanaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah PBT setiap daerah itu menumpukan kepada kawasan berisiko terhadap jangkitan Covid-19.

Semalam Selangor mencatatkan peningkatan 60 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 672 kes setakat jam 6 petang.

Amirudin terus meminta rakyat menentang penularan wabak maut berkenaan dengan mematuhi  arahan pihak berkuasa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.