AGENDA

Covid-19: `Lock down' kuasa PM, KDN bukan Kerajaan Negeri

16 Mac 2020, 5:20 AM
Covid-19: `Lock down' kuasa PM, KDN bukan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa mengeluarkan arahan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar (lock down) susulan perkembangan terkini Covid-19 kerana perkara itu tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata jika perkara itu dilakukan secara tergesa-gesa ia akan menimbulkan panik dalam masyarakat selain semua aspek perlu dilihat terlebih dahulu kerana membabitkan pelbagai pihak termasuk tentera serta bekalan makanan.

“Lock down boleh dilakukan tetapi persediaan harus dibuat. Bagi saya hal ini kita kena bekerjasama erat dengan semua pihak dan dalam titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut disebut bahawa perlunya hubungan yang berterusan dan akrab antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Perbezaan politik buat masa ini saya kira kita boleh lupakan seketika ekoran penularan Covid-19,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata beliau akan bertemu dengan pasukan petugas khas Covid-19 Negeri Selangor hari ini bagi mendengar cadangan tindakan susulan selepas mereka bermesyuarat hujung minggu lalu sebelum memberi kenyataan lanjut.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi Facebook rasminya menafikan mesej tular di media sosial bahawa Malaysia akan dikenakan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar hari ini ekoran wabak Covid-19.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.