BUDAYA

Blessé

29 Feb 2020, 4:16 AM
Blessé

Bukan kesunyian yang membuatku bersedih

tetapi ketiadaan upaya mengungkap kata-kata

memujuk diri. Bukankah aku di kamar mandi—

ruang paling intim, paling selamat

apakah lagi yang kau takuti?

Bukan senyuman yang merawat luka tetapi cermin

berlumut di hadapanku ini. Teman yang jujur

mengukir derita dan merakam air mata—

Betapa hidup tidak adil, air mata yang mengalir

hanya dapat dilihat mata asing sedang aku

tak punya sesiapa.

Bukan ketiadaan suara dan bunyi yang meramas

dadaku tetapi kebisingan di dalam kepala ini

tak kau fahami. Aku terpisah dari pejal dunia

seperti teriak bayi terpisah dari rahim ibu,

mengapa dunia bergembira kerana itu?

Aku memeluk diri sendiri tetapi dakap dan hangatnya

terasa palsu. Kutahu lengan ini tercipta semata untuk

menoreh, menampar, menikam musuh; akukah itu

yang ingin kaubunuh?

Shafiq Said

Mentakab