AGENSI

Najih, Faizah dinobat qari dan qariah Selangor

18 Jan 2020, 12:16 AM
Najih, Faizah dinobat qari dan qariah Selangor
Najih, Faizah dinobat qari dan qariah Selangor

SHAH ALAM, 18 JAN: Minat mendalam terhadap al-Quran sejak berusia lapan tahun menjadi kunci kepada Abdun Najih Marwan dinobatkan qari tilawah peringkat Selangor pada tahun ini.

Guru berusia 28 tahun itu terkejut tetapi sangat gembira dengan kemenangan tersebut.

Beliau yang sentiasa berlatih dan memperbaiki bacaannya setiap hari belum puas serta mahu terus memperbaiki kemahirannya membaca al-Quran.

“Saya mengenali al-Quran sejak umur lapan tahun dan mencuba nasib empat tahun berturut-turut. Malam ini saya sangat gembira dan bersyukur dengan apa yang dianugerahkan," katanya ketika ditemui malam tadi.

Selepas ini, beliau  mahu terus berusaha bagi menyempurna bacaan al-Quran.

Sementara itu, johan qariah dua tahun berturut-turut, Nor Faizah Panut berkata, beliau tidak pernah berputus asa dan sentiasa mencuba ke peringkat lebih tinggi.

Guru Maktab Rendah Sains Mara berusia 31 tahun, sudah lapan kali menjadi juara dalam pertandingan itu.

“Saya sentiasa mencari peluang untuk menjadi yang terbaik dengan cara berlatih setiap hari selepas solat Maghrib dan Isyak.

"Saya juga mengelak minum ais untuk menjaga suara,” katanya.

Johan qari dan qariah menerima wang tunai RM5,000, pakej mengerjakan umrah, sepersalinan pakaian, sijil dan piala pusingan.

Terdahulu, Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Selangor 1441H/2020 disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Masjid Negeri.

[caption id="attachment_379260" align="alignright" width="500"] Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada johan qariah, Nor Faizah Panut ketika Majlis Perasmian Penutup Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Selangor di Masjid Negeri, Shah Alam pada 17 Januari 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI[/caption]

Mengiringi baginda Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Naib johan qari dimenangi Muhamad Hazim Sharum manakala Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan yang mewakili daerah Hulu Selangor di tempat ketiga.

Naib johan qariah disandang Sofizah Mousin yang mewakili daerah Petaling sementara wakil dari Nor Fathiyah Panut Kuala Langa di tempat ketiga.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.