ad
AGENDA

Langkah baik KDN tangani isu permohonan kewarganegaraan

5 Jan 2020, 5:38 AM
Langkah baik KDN tangani isu permohonan kewarganegaraan

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Penubuhan pasukan petugas khas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani perkara berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan adalah langkah yang baik, kata aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, ia dapat membantu Jabatan Pendaftaran Negara dan KDN mempercepatkan semua permohonan kewarganegaraan bermula tahun ini berdasarkan keadilan, ketelusan dan kecekapan.

"Ini dapat membantu memastikan pemohon tidak perlu menunggu sehingga 10 tahun untuk permohonan kewarganegaraan mereka diluluskan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan mesti dikaji untuk memendekkan proses kelulusan, terutama untuk kanak-kanak.

Lee turut menyatakan kebimbangan terhadap permohonan kewarganegaraan untuk kanak-kanak memandangkan tanpa kewarganegaraan, masa depan mereka dalam bahaya.

Sebelum ini, dilaporkan KDN mengambil langkah proaktif termasuk menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyelesaikan masalah yang melibatkan permohonan kewarganegaraan, terutamanya untuk kanak-kanak tanpa dokumen di negara ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.