PBT

MBSA sedia 1,748 lot tapak pasar Ramadan

19 Dis 2019, 7:52 AM
MBSA sedia 1,748 lot tapak pasar Ramadan

SHAH ALAM, 19 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 1,748 lot tapak bazar Ramadan di 31 lokasi di bandar ini pada tahun depan.

Datuk Bandar MBSA, Dato' Haris Kasim berkata, permohonan tapak dan permit perniagaan boleh dibuat dalam talian dengan melayari laman sesawang MBSA bermula 1 hingga 31 Disember ini.

"Pemohon hanya perlu memuat naik dokumen yang diminta semasa melakukan permohonan," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Kempen Kepenggunaan dan Hari Terbuka Pelesenan Peringkat MBSA 2019 di Wisma MBSA di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, MBSA turut mengambil inisiatif menggalakkan penyewa gerai, pasar atau kiosk terbabit untuk menjelaskan bayaran sewa premis perniagaan masing-masing secara pukal.

Katanya, penyewa yang membayar sewa secara pukal akan diberikan ganjaran berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Tempoh pelaksanaan kempen ini bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2020.